Dua beradik rentung ketika ibu bapa tiada di rumah

SHAH ALAM, 14 Julai (Bernama) — Dua beradik rentung apabila rumah mereka di Banting Kuala Langat hangus terbakar awal pagi tadi.

Ketika kejadian ibu bapa dua adik beradik itu dikatakan berada di Pelabuhan Klang kerana membantu menyediakan makanan kepada anggota bomba yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor Nur berkata Salsabila Mohd Fakrul Khair, 16 tahun dan adiknya Nur Ain Sumayyah, 13 tahun dipercayai terperangkap ketika api menjilat rumah mereka pada 2.48 pagi.

“Mayat mereka ditemukan dalam bilik oleh anggota bomba dan penyelamat setelah kebakaran dipadamkan sepenuhnya” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Hafisham pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan pada kira-kira pukul 2.48 pagi dan dua jentera bomba masing-masing sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan KLIA bersama 17 anggota digegaskan ke tempat kejadian dan tiba 15 minit kemudian.

“Ketika sampai api sedang marak membakar rumah yang diperbuat daripada papan itu dan pasukan kami bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran dua minit kemudian dan api dipadamkan sepenuhnya selepas 10 minit,” katanya.

Hafisham punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat dua adik beradik itu dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *